Health knowledge made personal
Join this community!
› Share page:
Go
Search posts:

Berita Harian Online -------- ...

Posted Jul 08 2008 9:11am
Berita Harian Online

--------------------------------------------------------------------------------

Epilepsi tak halang kehidupan normal

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

Penghidap perlu ada semangat kental berhadapan dengan masyarakat

PESAKIT epilepsi masih dianggap sebagai penyakit yang luar biasa. Perilaku pesakit ketika serangan bukan saja boleh mengejutkan orang sekeliling tetapi

juga mengundang bahaya sekiranya ia berlaku berhampiran objek berbahaya.

Walaupun negara semakin maju, realitinya masyarakat masih menganggap ia bukan penyakit glamor dan tiada nasib pesakit yang boleh diperjuangkan nasibnya

melainkan pesakit itu sendiri.

Aktivis epilepsi, Serene Low, 48 berkata menyedari kesukaran itu menyebabkan tiada seorangpun pesakit yang berani menyatakan diri berhadapan penyakit itu,

berbanding penyakit lain seperti barah dan sebagainya.

“Sebagai aktivis saya selalu bertanyakan kepada individu apakah yang mereka faham mengenai epilepsi dan apabila diberikan penerangan, individu itu seakan-akan

terlalu takut. Kita boleh lihat menerusi gelaran penyakit. Kalau dalam bahasa Melayu ia digelar ‘gila babi’ dan dalam bahasa Cina pula ‘lembu gila’.

“Gelaran yang menakutkan ini sudah menunjukkan bagaimana keadaan penyakit itu. Saya fikir sudah sampai masanya gelaran itu dihentikan kerana ia berlaku

bukan atas kehendak pesakit, malah hari ini semakin ramai pula yang terdedah kepada sawan akibat penyakit dan trauma,” katanya ketika ditemui baru-baru

ini menceritakan keadaan diri sebagai pesakit epilepsi.

Penyakit itu dikaitkan dengan kenan haiwan atau penyakit misteri. Takut melihat perilaku pesakit ketika menghidapi epilepsi antara tanggapan masyarakat

terhadap penghidap epilepsi menjadikan mereka sanggup menipu dalam permohonan kerja demi meneruskan kelangsungan hidup. Realitinya epilepsi ada di mana

jua di dunia dan ia adalah gangguan sistem urat saraf (neurologikal) tidak menentu yang serius serta paling kerap ditemui.

Keadaan itu menyebabkan rasa rendah diri yang ada dalam diri pesakit semakin menebal, menjadikan mereka rela melindungi penyakit dihidapi dalam permohonan

pekerjaan kerana secara automatik majikan akan menolak permohonan tanpa mengetahui status terkini pesakit.

Beliau yang kini berkeluarga dan memiliki seorang anak remaja lelaki berusia 20 tahun berkata, tuah dan semangat yang kental saja membolehkan seorang pesakit

meneruskan kehidupan.

“Sebagai pesakit saya juga melalui penderitaan yang sama. Malu, menyalahkan diri sendiri dan rasa rendah diri semuanya bercampur baur tetapi akhirnya saya

sedari kita sendiri perlu merubah tanggapan dan bangun untuk memperjuangkan kehidupan kerana realitinya penyakit ini tidak akan berhenti,” katanya.

Serena yang mengidap epilepsi sejak kanak-kanak berkata, ia berpunca daripada lambat rawatan kesan demam yang terlalu tinggi. Gara-gara kurang pengetahuan

berhubung epilepsi sekitar tahun 70-an, nyawanya nyaris melayang kerana terkena serangan ketika bermain di tepi laut Port Dickson pada usia 18 tahun.

“Zaman remaja saya juga agak sukar, kerana kerana ketika meneruskan peperiksaan untuk mendapatkan Diploma, saya terkena serangan dalam dewan peperiksaan.

Rakan baik saya menyatakan, keadaan kelam kabut ketika itu, dengan keadaan saya yang sebegitu dan pensyarah pula takut calon lain meniru.

“Sesampai di hospital, saya menangis yang teramat sangat kerana tidak dapat meneruskan menjawab soalan kerana ia sudah diikat kemas dan akan dihantar ke

Australia. Saya memang rasa kecewa kerana terpaksa menunggu masa setahun selepas itu untuk mengambil peperiksaan serupa,” katanya.

Beliau berkata, disebabkan banyak berlaku serangan, banyak aktiviti dihadkan kerana takut berlaku serangan di tempat terbuka sebaliknya, menyertai orang

tua melakukan tai chi di gereja.

Katanya, dalam kelas berkenaan beliau saja yang paling muda dan ada di kalangan peserta yang ‘berkenan’ untuk menjadikan beliau menantu.

“Sebelum ini ramai juga yang ingin berkenalan tetapi perhubungan tidak menjadi kerana mereka tidak mahu terbabit dengan pesakit epilepsi. Memang saya ingatkan

akan solo sampai ke tua tetapi dalam pertemuan dengan suami, bila saya terangkan mengenai epilepsi dan serangan, suami (ketika itu bakal suami) langsung

tidak menunjukkan muka takut sebaliknya berkata “kalau begitu, bagaimana saya boleh membantu awak?”.

“Saya dapat rasakan itulah pilihan paling tepat dan akhirnya mengakhiri zaman bujang pada usia 26 tahun. Seperti wanita lain tidak beberapa lama selepas

itu saya disahkan mengandung. Saya terlalu takut dan banyak persoalan yang berlegar dalam fikiran, seperti bagaimanakah keadaan anak saya nanti? Adakah

dia akan cacat kerana saya tahu sudah pasti saya banyak mengambil ubat dan bagaimana pula sekiranya serangan terlalu kerap berlaku?,” katanya.

Low berkata, masih segar dalam ingatannya bagaimana ketika melalui proses kehamilan, serangan tidak berlaku kerana doktor menetapkan kadar ubat yang perlu

diambil. Sungguhpun begitu pada minggu ke 37 kandungan saya didapati tidak bergerak. Saya cemas dan terus ke hospital.

“Dalam kecemasan itulah saya melihat kerjasama yang cemerlang antara pakar saraf dan perbidanan. Masing-masing segera meneruskan kelahiran menerusi pembedahan

dan akhirnya anak saya selamat dilahirkan. Dan hingga ke hari ini anak saya memang tahu ‘menjaga’ saya.

“Saya selalu berpesan pada dirinya, kalau berlaku serangan, usah gentar, sebaliknya biarkan ia berlaku, cuma jauhkan objek berbahaya daripada saya dan

meletakkan bantal di bawah kepala,” katanya.

Low berkata, mempunyai keluarga yang memberikan sokongan tidak berbelah bagi antara perkara paling berharga buat dirinya. Suami yang dulu bekerja makan

gaji, kini beralih dengan melakukan kerja dari rumah, untuk memastikan keadaan dirinya selamat.

“Sebagai pesakit kita tidak tidak boleh menjangka bila serangan berlaku, tetapi kita perlu tahu mengawalnya dengan makan ubat yang teratur. Berkhidmat

sebagai aktivis, sengaja saya paparkan kisah saya ini kerana sebagai pesakit, kita perlu perjuangkan nasib kita sendiri.

“Walaupun ia agak sukar tetapi kita perlu selalu mencuba, dan sokongan daripada keluarga akan membantu semangat kita untuk terus berjuang. Pesakit perlu

mendapatkan rawatan sewajarnya kerana kemajuan hari ini ada pesakit yang boleh sembuh. Bagi anak yang bersekolah, ada guru yang tidak tahu menangani pesakit

ini ketika berhadapan serangan.

“Dalam kebanyakan kes ada anak yang malu untuk ke sekolah apabila diejek rakan, hingga menyebabkan mereka langsung tidak berminat untuk ke sekolah dan

masa depan mereka akan semakin tidak menentu apabila ibu bapa juga tidak mencari penawar sebenarnya,” katanya yang akan ke luar negara menemani permata

hati menuntut ilmu.

Sejarah epilepsi, penyakit digeruni

Pandangan asal epilepsi diselubungi oleh keadaan takut dan ilmu tarikat. Zaman Purba Babylon menyangkakan gangguan terjadi bila seseorang dirasuk hantu.

Ia menekankan keadaan epilepsi ada kena-mengena dengan kuasa ghaib, dengan setiap jenis sawan dikaitkan dengan nama jin atau Tuhan biasanya jahat. Oleh

sebab itu, cara perubatan mereka adalah melalui ilmu kebatinan.

Orang Yunani percaya jika seseorang itu diserang sawan ini bermakna ia melakukan kesilapan dengan tuhannya. Pada 400 SM, tabib Yunani Hippocrates adalah

orang pertama membuktikan teori epilepsinya. Waktu itu dikenali sebagai `penyakit keramat', akibat sumpahan hantu atau tuhan mereka. Dia mengesyorkan perubatan

secara jasmani atau fizikal dan memaklumkan bahawa sekiranya penyakit bertambah teruk, ia tidak dapat diubati.

Malangnya, pandangan ini tidak diterima ramai dan pada 1494, kejadian penderaan perempuan sihir menyemarak menyebabkan kematian ke atas 200,000 wanita.

Gangguan ini dipercayai menjadi Apakan daya bukti yang diberikan oleh Hippocrates tidak dapat menjiwai kefahaman mereka, pengertian sebenar epilepsi tidak

dapat diterima sehinggalah abad yang ke-18 dan 19 Masihi.

Dalam waktu perantaraan 2000 tahun itu, orang yang mengalami epilepsi dianggap menakutkan, mencurigakan dan disalah fahamkan serta nasibnya terdedah pada

celaan sosial. Pesakit dianggap orang terbuang dan dihukum. Bagaimanapun, ada juga yang berjaya menjadi orang yang masyhur di seluruh dunia. Antaranya

adalah Socrates, Napoleon, Julius Caesar, Czar Peter the

Great dari Rusia, Pope Pius IX, penulis Fedor Dostoevsky, penyajak Lord Byron dan beberapa ahli sukan Olimpik.

Pada abad yang ke-19, apabila muncul neurologi sebagai satu disiplin baru dalam psikiatri, penerangan konsep epilepsi sebagai satu keadaan gangguan di

dalam otak semakin diterima ramai, terutama sekali di Eropah dan Amerika Syarikat (AS). Ini banyak membantu pencelaan yang bersangkutan dengan gangguan

serupa ini. Bromid, ubat anti-epileptik yang pertama mujarab diperkenalkan pada 1857, begitu meluas digunakan di Eropah dan di AS pada separuh abad yang

lalu.

Hans Berger, seorang pakar jiwa bekerja di Jerman pada 1920-an, menghasilkan elektroensefalograf manusia (EEG - gelombang otak).

Penggunaan utamanya bermula dari 1930-an iaitu dalam bidang epilepsi. EEG mendedahkan kehadiran pelepasan elektrikal dalam otak dan ini kemudiannya menghasilkan

harapan yang memungkinkan rawatan pembedahan neuro dan mudah diperoleh di London, Montreal dan Paris pada 1950-an.

Selama beberapa dekad yang lalu perhatian yang lebih besar diberikan pada penghidupan berkualiti, contohnya isu psikolojikal dan sosial, bagi orang yang

mengalami gangguan epilepsi, walaupun perkembangannya agak lembap dan khidmatnya masih lemah.

Hari ini, masih ada lagi orang yang fikir bahawa gangguan epileptik adalah akibat `buatan orang' atau `kena sumpah'.

Sumber: Persatuan Epilepsi Malaysia

FAKTA: Serangan epilepsi

Membabitkan keseluruhan otak.

Boleh menyebabkan pesakit kaku, rebah dan tidak sedarkan diri, dan mungkin badan akan mula bergoncang, atau mengalami konvulsi, meronta-ronta dengan kekuatan

otot seperti biasa.

Serangan biasanya berlaku dalam lingkungan lima minit, tetapi kebanyakan pesakit kemudiannya akan tertidur buat setengah jam atau lebih dan bila terjaga

seolah-olah termenung dan bingung buat seketika.

Apabila pesakit diserang, beliau mungkin akan terjatuh dan menjadi kejang, menyentak, pernafasannya tidak menentu dan tidak dapat mengawal buangan air kecil

dan besar.

Rawatan

Jangan panik, sebaliknya baringkan pesakit di tempat selamat, dan alas sesuatu bahan lembut di bawah kepalanya. Jangan letakkan sebarang objek dalam mulut

pesakit (termasuklah jari anda) kerana ia boleh mencederakan pesakit itu sendiri atau jari anda.

Ini boleh mencederakan anda, gigi pesakit boleh patah dan objek itu boleh menghalang saluran pernafasan. Jangan cuba menahan atau mengikatnya daripada bergerak.

Apabila sawan sudah berakhir, baringkan pesakit lalu mengiringkan badannya, supaya saluran pernafasannya lapang.

Jika pesakit berasa keliru atau ketakutan, berikan beliau keyakinan yang semuanya adalah seperti sedia kala. Elakkan daripada memberi apa-apa makanan atau

minuman sehingga pesakit sedar seperti biasa dan teman pesakit sehingga beliau pulih.

Epilepsi separa

Berlaku apabila ada tambahan aktiviti elektrikal yang terjadi secara tiba-tiba pada bahagian otak di sebelah belakang pelipis.

Serangan boleh mengakibatkan pesakit berada dalam keadaan tersangat bingung, perbuatan yang kerap diulangi dan perbuatan yang tidak menyenangkan.

Pesakit selalunya tidak mengecam persekitarannya dan tidak sedar apa yang sedang dilakukannya. Tanda biasa bagi serangan sawan jenis ini ialah perbuatan

ganjil di luar kawalan, seperti menampar bibir, mengunyah, menarik pakaian, berlari dalam satu bulatan, dengan wajah yang selamba dan tidak berupaya untuk

mengikut arahan.

Sewaktu serangan pesakit nampaknya dalam keadaan sedar diri, tetapi tidak dapat menjawab sekiranya disoal. Pesakit akan bercakap merapu, pandangannya kosong,

bertanya soalan yang merapu, menampar bibirnya, atau sentiasa gelisah dengan pakaiannya.

Dia mungkin marah atau berkasar sekiranya anda cuba memberhentikan perbuatannya.

Rawatan

Jangan cuba menahan pesakit daripada merayap kecuali ke tempat yang berbahaya bagi dirinya.

Jauhkan objek yang berbahaya yang ada berhampiran.

Jangan menenangkan pesakit dengan menggoncang badannya atau menjerit padanya.

Temankan pesakit sehingga beliau pulih.
Post a comment
Write a comment:

Related Searches